Article Index

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral

Ke Arah Melestari Kecemerlangan

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) merupakan pemacu kecemerlangan IPG Kampus Darulaman sebagai salah sebuah institut yang telah dikelompokkan sebagai kampus kebitaraan Pendidikan Islam Tier 2 bagi zon utara semenanjung Malaysia. Jabatan ini diterajui oleh seorang Ketua Jabatan dan dibantu oleh empat ketua unit utama, iaitu Unit Pendidikan Islam, Unit Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Unit Pendidikan Moral dan Unit Tamadun Islam. Keempat-empat unit ini mendokong tonggak kelestarian institut dalam merealisasikan visi dan misi jabatan khususnya dan IPG umumnya. JPIM menggunakan kepakaran yang tinggi dalam mengendalikan dan menganjurkan program ilmu yang memberi penghayatan mendalam terhadap Pendidikan Islam. Program-program ilmu yang dianjurkan antaranya Tazkiyah al-nafs, Daurah al- Kitab, Kuliah Maghrib, Kuliah Tahsin al-Quran serta program lain berkaitan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Tamadun Islam di peringkat jabatan, institut dan IPGM. Sehingga Januari 2020, terdapat tiga program yang dikendalikan oleh JPIM bagi tahun 2020, iaitu Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Pendidikan Islam, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (PISMP) Pendidikan Islam, dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) Tahfiz. Enrolmen pelajar JPIM yang mengikuti semua program yang ditawarkan berjumlah 404 orang merangkumi 348 orang pelajar program sepenuh masa dan 56 orang pelajar program mod Kursus Dalam Cuti (KDC).