• Pengenalan

Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Darulaman merupakan sebuah jabatan yang memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sejajar dengan Akta 152, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Jabatan ini dianggotai oleh lapan orang pensyarah yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang berkaitan bahasa Melayu terutamanya komunikasi, kebahasaan, pedagogi, kebudayaan dan kesusasteraan bertanggungjawab melahirkan guru-guru bahasa Melayu yang memiliki kecekapan dan kompeten sebagai guru bahasa Melayu selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain mengendalikan kursus-kursus berkaitan bidang bahasa Melayu kepada 74 orang pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan 161 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), jabatan ini juga dipertanggungjawabkan sebagai perujuk bahasa kepada jabatan-jabatan lain khususnya dalam bidang ketatabahasaan bahasa Melayu agar penggunaan bahasa Melayu dapat digunakan dengan betul dan tepat.

Jabatan Pengajian Melayu optimis dalam memenuhi Kluster ke-7 Inisiatif Transformasi IPG, iaitu Pengantarabangsaan dengan menjalinkan kolaboratif dengan beberapa agensi. Antara agensi yang terlibat ialah Dewan Bahasa dan Pustaka yang sentiasa bekerjasama menyemarakkan lagi aktiviti berkaitan bahasa, budaya dan sastera. Selain itu, Jabatan Pengajian Melayu turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dalam menyampaikan ilmu berkaitan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) kepada semua pelajar institut sebelum mereka bergraduat. Terkini, Jabatan Pengajian Melayu melaksanakan perkongsian pintar melalui program PASAK dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi melaksanakan kaedah didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kepada anak-anak orang Asli Kensiu dan mempelajari teknik menganyam kraftangan ‘tempok kepala’ daripada etnik tersebut. 

  • Fungsi Jabatan
  1. Melaksanakan kurikulum Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda (PPISMP) Pendidikan Rendah dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Rendah
  2. Merancang dan melaksanakan agihan kerja kursus dan interaksi
  3. Merancang, menilai dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
  4. Merancang dan melaksanakan aktiviti bagi program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM)
  5. Membantu, membimbing dan melatih para pelajar dalam sebarang aktiviti kebahasaan
  6. Memberikan kursus kebahasaan kepada komuniti kampus dan agensi-agensi luar kampus
  7. Merancang dan melaksanakan aktiviti kebahasaan kepada warga kampus
  8. Menyampaikan ilmu berkaitan dengan kebahasaan kepada pelajar yang mengambil kursus kebahasaan yang ditawarkan
  9. Menyediakan khidmat rundingan dan rujukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.
  10. Mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan dengan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu
  11. Mengendalikan kursus Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang diserap masuk dalam mata pelajaran Bahasa  Melayu Sekolah Rendah
  12. Membantu, membimbing dan melatih para pelajar dalam sebarang aktiviti kebudayaan dan kesusasteraan Melayu
  13. Melaksanakan aktiviti dan program IPGM dan KPM yang berkaitan dengan bidang kebudayaan dan kesusasteraan Melayu dengan sistematik dan berkesan
  14. Melaksanakan sekurang-kurangnya satu penyelidikan satu pensyarah sama ada secara individu atau berkumpulan